30 March, 2012

Misteri Solat Subuh



Sedarkah 
anda betapa pentingnya Solat Subuh berjemaah di dalam membina peribadi kehidupan masyarakat mukminTonggak kekuatan ummah itu sendiri bermula dari Solat Subuh berjemaah. Sekiranya kita mengetahui betapa besarnya nilai solat ini kemudian kita saksikan ada orang yang meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid maka kita akan mengetahui betapa besar musibah yang telah menimpa mereka.
Sabda Rasulullah SAW ” sesungguhnya dua solat iaitu isyak dan subuh adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yana ada dalam solat subuh dan isyak maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” HR Ahmad dan An-Nasa’i
Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim).
Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Sesungguhnya ini adalah ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Nilai tertinggi dalam ujian ini iaitu bagi seorang lelaki adalah solat subuh secara rutin berjemaah.
Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.” Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar. Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud : ” Kalau sekiranya manusia itu tahu apa yang tersembunyi dalam azan dan saf pertama dan mereka tidak mendapatnya kecuali di undi, nescaya mereka akan ikut serta dalam undian (orang ramai yang ingin mendapatkan saf pertama). Dan jika mereka mengetahui apa yang didapati dalam awal datang (solat jemaah), nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan jika mereka tahu apa yang tersimpan di dalam solat Subuh dan Isyak maka mereka akan mendatanginya walau dengan merangkak. HR Al-Bukhari”. Perhatikan lagi Hadith Rasulullah SAW bermaksud : “ Allah akan turun ke langit bumi pada setiap malam, ketika sepertiga malam yang terakhir. Dia berkata ’ mana hambaku yang berdoa untuk Aku kabulkan do’anya? Mana hambaKu yang meminta kepadaKu untuk Aku penuhi (permintaannya)? Mana hambaKu yang beristighfar untuk Aku ampuni (dosanya)?”
Renungkanlah apa lagi yang lebih kita inginkan dari semua itu?.. Jadi apa yang menghalang kita dari menunaikan solat subuh?..Bukankah ia adalah suatu bahagian yang begitu besar berbanding dunia dan seisinya…Janganlah kita tertipu oleh dunia..
falls-illumination-niagara_36391Solat subuh merupakan lambang disiplin diri dan kekuatan ummah. Itulah kayu pengukur nilai sesuatu umat. Umat yang lalai dari Subuh berjemaah adalah umat yang tidak berhak mendapat kejayaan akan tetapi berhak untuk diganti dengan yang lain. Sehinggakan pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan mereka tidak gentar dengan orang Islam kecuali apabila jumlah jemaah solat subuh seramai jumlah jemaah solat Jumaat.
Tanpa solat subuh umat Islam tiada lagi berwibawa. Tidak selayaknya umat ini mengharapkan kemuliaan, kehormatan dan kejayaan jika mereka tidak memperhatikan solat ini.
Lihatlah Firman Allah dari ayat 78 Surah Al-Israa’ yang bermaksud : ” Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan dirikanlah sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaanya)”.
Antara kita ramai yang menyedari hakikat begitu ramai jemaah yang memenuhi saf di bulan Ramadhan. Di malam-malam itulah mereka berlumba-lumba memenuhi saf bagi menunaikan solat sunat Terawih. Mengapa tidak pula mereka berlumba-lumba menunaikan solat wajib berjemaah?..Bukankah Islam itu adalah agama yang disusun rapi dan jelas. Pun begitu, kemana menghilangnya mereka setelah Ramadhan berlalu pergi?..Mengapa dengan tiba-tiba mereka meninggalkan solat berjemaah dimasjid termasuk solat subuh berjemaah. Bukankah ini merupakan isyarat hilangnya pemahaman agama dalam diri mereka atau keterbiasaan menjadikan mereka sukar untuk melaksanakan amalan yang tinggi nilainya..



1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah, sangat bererti maknanya.. Amin