Roh Kuat Elak Gangguan Saka
Gangguan iblis dan syaitan merangkumi iktikad atau kepercayaan yang boleh menyebabkan seseorang itu sesat; kufur, syirik atau murtad. Selain daripada itu iblis dan syaitan juga mengganggu otak manusia menyebabkan seseorang mangsa itu berhadapan dengan masaalah yang berkaitan dengan otak, pada hati menyebabkan timbulnya rasa was-was, tidak percaya pada tuhan, pada agama yang dianuti dan sebagainya. Iblis juga menganggu jasad manusia menyebabkan seseorang itu berasa sakit pada bahagian jasad yang berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam menurut perjalanan darah.
Gangguan Fizikal Yang Dituruti Dengan Gangguan Iblis Dan Syaitan
Orang yang lemah tubuhnya akibat kecederaan fizikal, disertai dengan roh yang lemah lebih mudah diganggu oleh iblis dan syaitan berbanding dengan mereka yang tidak menghadapi masaalah fizikal. Orang yang berhadapan dengan masaalah stress berpanjangan, lebih mudah diserang histeria berbanding dengan mereka yang hidup tenang, suasana yang menggalakkan dan berupaya meraih ketenangan hidup.
Gangguan iblis dan syaitan ke atas manusia adalah sesuatu yang benar. Ia boleh berlaku yang melibatkan bahagian otak, hati, jasad. Seperti manusia, apabila kehidupan makhluk ghaib itu diganggu oleh manusia, biarpun perbuatan tersebut dilakukan diluar pengetahuan, makhluk ini akan bertindakbalas. Gangguan boleh berlaku samaada ketika berada dihutan, ditempat sunyi jauh daripada manusia, dikubur-kubur dan sebagainya. Tanpa kesalahan atau kesilapan manusia makhluk ini juga sering mengganggu manusia kerana dikalangan makhluk ini memang terkenal dengan kejahatannya. Inilah yang dinamakan ‘GANGGUAN’.
Apabila kegiatan manusia itu disokong atau disertai oleh jin-jin yang terdiri daripada syaitan atau sebagainya, samaada makhluk tersebut dibela atau dibuat sahabat, maka ketika itu orang yang berkenaan telah melakukan perbuatan yang dinamakan ‘sihir’. Orang yang melakukannya dinamakan ‘tukang sihir’. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin seperti yang dijelaskan.
Meresap
Dengan ilmu kebatinan yang dipelajari dengan sengaja atau tidak disengajakan, orang yang seperti ini berupaya menyeru jin atau jin-jin tersebut meresap masuk dalam tubuhnya. Ketika itu jasad manusia berkenaan akan menjadi seumpama sarung semata-mata. Kegiatan berikutnya yang dilakukan oleh makhluk iaitu jin yang meresap dalam tubuh tadi.
Ketika inilah orang yang berkenaan boleh melakukan kegiatan tertentu bergantung kepada keadaan. Ia boleh melakukan rawatan yang dikenali sebagai rawatan tradisional dimana kegiatan tersebut ada kalanya melibatkan amalan menurun, menilik, mengurut dan sebagainya. Penglibatan makhluk ini dalam tubuh membolehkan seseorang itu melakukan pergerakkan silat biarpun dia tidak pernah mempelajari pergerakkan fizikal ilmu persilatan sebelum itu, menjadi kebal dan sebagainya.
Selain daripada itu, makhluk ini juga boleh digunakan untuk menyakiti atau menyihir orang lain. Menyebabkan lahirnya ilmu penunduk, ilmu penggerun, ilmu pemanis muka dan sebagainya. Perlu diperjelaskan bahawa kegiatan yang dijelaskan diatas ini tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh manusia.
Apabila Orang Yang Memiliki Ilmu Meninggal Dunia
Apabila orang yang berkenaan meninggal dunia, saka tersebut diwarisi oleh seorang atau beberapa orang waris tertentu. Kesan daripadanya mangsa akan menghadapi masaalah yang hampir sama dengan masaalah yang ditanggung oleh pewaris asal. Makhluk yang terlibat dengan kegiatan individu berkenaan perlu berdamping atau ‘dibela’ oleh orang lain, semata-mata untuk menyesatkan manusia yang biasanya terdiri daripada saudara mara. Dari sinilah lahirnya istilah SAKA, iaitu makhluk jin yang berdampingan dengan waris terkeatas itu diturunkan atau dipusakai oleh waris terkebawah, dimana penurunan ini selalunya berlaku dikalangan waris yang rapat.
Penurunan Saka
Penurunan saka ini boleh berlaku dalam dua keadaan;
Berlaku secara terus : Orang yang mempunyai saka itu dengan terang-terangan memberitahu yang dia menurunkan ilmunya kepada orang tertentu. Waris yang terlibat kebanyakkannya tidak menyedari bahawa apa yang diturunkan atau yang dipusakai itu adalah terdiri daripada jin-jin atau hantu-hantu. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah istimewa berbanding dengan waris-waris lain kerana mewarisi ilmu kebatinan.
Berlaku menurut kehendak : Penurunan ini berlaku menurut kehendak jin itu sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya pewaris itu telah meninggal dunia.
Biar dalam keadaan apa sekali pun, masaalah yang berkaitan dengan saka adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku. Ia melibatkan jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang luarbiasa seperti yang diterangkan. Dan apabila seseorang itu menerima saka, ia akan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang yang mempunyai saka yang asal.
Satu jenis saka yang lain ialah saka yang merupakan penyakit atau gangguan daripada jin-jin tidak melibatkan rawatan. Orang yang terlibat apabila diganggu saka adakalanya fungsi otaknya menjadi tidak normal, berjalan ditengah malam tanpa dapat mengawal diri, duduk termenung sendirian, marah tidak menentu, mengamuk dan sebagainya termasuk menghantuk-hantukkan kepala kedinding.
Manusia mudah terdedah kepada masaalah termasuk penyakit kerana manusia itu tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh yang dikenali sebagai ‘body resistance’. Orang yang seumpama ini mudah dijangkiti kuman batuk, selsema, sakit kulit dan sebagainya berbanding dengan orang yang mempunyai ketahanan diri yang kuat.
Begitu juga dengan kekuatan roh, yang berupaya menolak pelbagai masaalah kebatinan atau kerohanian termasuk apa yang dikenali sebagai ‘saka’. Kerana itu untuk memperlengkapkan diri daripada diganggu oleh saka iaitu jin-jin tadi, kita perlu mempunyai roh yang kuat. Roh yang kuat perlu pemahaman agama, dimana ia akhirnya diterjemahkan melalui amalan atau ibadah. Hanya dengan ilmu sahaja seseorang itu menaruh keyakinan terhadap Allah SWT dan rasa ikhlas ketika melakukan amalan-amalan tersebut. Itulah yang dikenali sebagai sebagai amalan bertakarub iaitu memperhambakan diri kepada Allah SWT lalu akhirnya seseorang itu mendapat kurnia kasih Allah SWT. Apabila ini berlaku, orang yang berkenaan akan memperolehi kekuatan zahir dan batin. Ketika ini apabila dia bermohon, Allah SWT akan memperkenankannya dan ketika memohon perlindungan, Allah SWT akan melindunginya. Demikianlah janji-janji Allah SWT terhadap hamba kekasihnya.
No comments:
Post a Comment