Seru bulan untuk seri wajah
Setiap kali bulan mengambang, mereka akan berdiri di luar rumah, di muka pintu atau sekadar membuka jendela untuk menghadap sinar bulan.
MANUSIA sejak zaman jahiliah lagi amat kagum dengan kejadian bulan yang muncul pada waktu malam. Kemudian, para bangsawan dan penyair Eropah turut memuja peri kewujudan dan kecantikan bulan dalam banyak catatan dan karya puisi mereka. Di kalangan orang Melayu juga tidak terkecuali.
Keindahan dan perbandingan bulan tersemat dalam bait-bait gurindam dan pantun. Misalnya pantun ini: 'Terang bulan di pintu kurung, cahayanya sampai ke daun kayu; kalau Allah hendak menolong, air pasang kapal pun lalu'. Pantun ini menerangkan tentang fitrah bulan dan hubungannya dengan kehidupan manusia.
Namun, ketaksuban tentang kejadian itu adakalanya melampaui batasan. Jurnal telah dihubungi seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Khatijah yang menceritakan mengenai bulan.
Dia mahu berkongsi kesedihannya kerana tidak dapat menghentikan kepercayaan khurafat yang masih diamalkan oleh saudara-saudara wanitanya.
"Ini didedahkan secara tidak sengaja oleh salah seorang daripada mereka. Mereka mengamalkan ilmu seru bulan yang dikatakan dapat menaikkan seri wajah dan mengekalkan kecantikan mereka," ujar Khatijah.
Teguh dengan kefahaman mendalam tentang perbuatan menyekutukan kekuasaan Allah, Khatijah memberi reaksi menentang. Namun, nasihat dan tegurannya mengenai amalan yang menyalahi hukum agama itu langsung tidak diendahkan ibu-ibu saudaranya.
"Walaupun saya kesal dengan mereka, namun saya akui mereka semua mempunyai tarikan. Setiap kali ada keramaian seperti kenduri keluarga, ramai yang akan menghampiri untuk memuji bahawa wajah mereka itu berseri-seri," adu wanita yang berasal dari Pantai Timur ini.
Khatijah membocorkan lagi rahsia tentang amalan tersebut. Katanya, ibu-ibu saudaranya itu mewarisi ilmu seru bulan daripada arwah neneknya. Setiap kali bulan mengambang, mereka akan berdiri di luar rumah, di muka pintu atau sekadar membuka jendela untuk menyeru bulan.
"Ada bacaan tertentu yang mereka sertakan. Pernah saya mencuri dengar, ia bercampur ayat al-Quran. Mereka akan menghalakan tapak tangan ke arah bulan dan kemudian menyapu muka. Ia dilakukan berulang kali," terangnya.
Selain untuk kecantikan, ilmu seru bulan juga diamalkan untuk mengelakkan perceraian dan memastikan suami mereka tidak mengabaikan keluarga.
"Bukankah itu bagus untuk orang perempuan?" kata salah seorang ibu saudaranya yang yakin semua amalan itu adalah untuk menjaga kepentingan keluarga.
"Memanglah tiada perceraian sehingga kini. Suami mereka, iaitu pak cik-pak cik saya bagaimanapun terlalu mengikut cakap isteri. Komunikasi seperti tidak natural atau mesra," tambah Khatijah yang bimbang ibunya sendiri akan dipujuk untuk mencuba ilmu itu.
Masih jelas dalam fikiran Khatijah akan keadaan neneknya ketika sedang nazak suatu masa dahulu.
Atas bantuan orang pandai di kampungnya, bumbung rumah di atas pembaringan neneknya itu terpaksa dibuka untuk melepaskan pandangan ke langit. Ketika itu barulah nenek Khatijah aman menghembuskan nafas terakhir.
"Ceritanya belum berakhir di situ. Selama kira-kira dua minggu, saudara-mara kerap ternampak kelibat yang menyerupai nenek mundar-mandir di dalam rumah selepas kematiannya," kata Khatijah yang mengakui dirinya takut ditimpa musibah kerana menceritakan hal ini.
Dalam bilik arwah yang dikemas selepas itu telah ditemukan bungkusan barangan yang ganjil seperti bungkusan kain kuning, keris lama dan taring serta misai harimau.
Seorang saudara lelaki yang berasa bertanggungjawab segera mengupah orang untuk melupuskan barang-barang itu di laut.
Khatijah mendedahkan satu lagi rahsia arwah neneknya itu. Menurutnya, ketika zaman kedatangan Jepun, neneknya antara wanita tercantik di kampung.
Namun, neneknya dan keluarga tidak pernah diapa-apakan. Malah, ramai anggota tentera Jepun yang seakan-akan takut dan mengikut sahaja telunjuk neneknya yang meminta menolong itu dan ini.
"Walau apa pun kehebatannya, saya kesal kerana ilmu itu masih wujud dalam susur galur keluarga kami. Saya risau memikirkan di manakah penghujungnya.
"Bayangkanlah, akhir tahun lalu, berlaku sesuatu yang pelik ketika ibu saudara saya yang paling tua jatuh sakit.
"Ketika dia nazak, adik-beradik perempuan yang lain berebut-rebut mahu menciumnya kerana wajahnya menyerupai nenek saya. Hanya selepas dia meninggal, wajahnya kembali ke asal.
"Seram saya dibuatnya," kata Khatijah yang bersumpah pada dirinya tidak mahu mewarisi ilmu itu.
5 comments:
rasanya tak yah lah buat camtu..skrg kan banyak plastic surgery tak yah lah nak pi seru bulan... tak pun buat je botox... kalau pasal hubby plak kalau dah tak de jodoh buat apa pun kalau nak kena tinggal kena jugak ..tu semua kan keje tuhan ...
tu pendapat saya lah ... ;p
isk.. ngarot jer..
baik lepak tengok bulan sambil nyanyi lagu Yuna..
kan? kan?
owh bulan.. enggan melayan diwiku lagi..
heceh!
ahahaha!!
eeuuwww scary you!
Buat hapelah percaya kat benda tahyul ni.. silap silap benda lain plak diseru..
Sekarang ni seru jer dengan duit, macam macam kekdah awet muda ada dalam pasaran
Kena berhati hati ... takut terpesong aqidah ...
ketahuilah oleh kamu ... bahawa perbuatan syirik itu umpama seekor semut yang hitam di atas batu hitam di malam gelap gelita ....
Careful!
Dear Vimmy.
Jangan terpedaya.......bahaya tu!
Post a Comment