20 August, 2008

Gambar kemalangan 19/08/08.



Tiga beranak maut nahas selepas ziarah kubur keluarga

Oleh Norliza Abd. Rahman dan Thomas Chong

SEPANG 19 Ogos - Tiga sekeluarga terbunuh selepas kereta Kancil yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di kawasan perusahaan Meranti Jaya, Jalan Putra Perdana, di sini hari ini.

Pemandu kereta, Azmi Abd. Jalil, 35, adiknya, Nor Hidayu, 23, dan ibunya, Minum Aman, 55, yang duduk di belakang mati di tempat kejadian.

Pegawai Penyiasat Kanan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Inspektor Zaidi Hashim berkata, pemandu MPV itu, pemuda berusia 33 tahun yang bertugas sebagai pemandu di Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerah diri di IPD tersebut kira-kira pukul 1.45 iaitu sejam selepas kemalangan.

''MPV itu adalah milik UPM dan ujian air kencing ke atas pemandu tersebut menunjukkan dia positif dadah dan sudah ditahan oleh polis bahagian narkotik untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua mangsa yang berasal dari Pandan Jaya, Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan pulang dari Tanah Perkuburan Islam Taman Meranti Jaya ke Pandan Jaya.

Zaidi memberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada MPV jenis Naza Ria dari arah Puchong ke Taman Putra Perdana yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh kereta mangsa.

''Semua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengkebumian," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham Minum, Azlee, 27, memberitahu, ibu, abang dan adiknya dalam perjalanan pulang dari menziarahi kubur abang sulungnya, Azman yang meninggal dunia dua tahun lalu di Tanah Perkuburan Islam Pu- lau Meranti.

''Kehilangan serentak tiga ahli keluarga kami amat menyedihkan lebih-lebih lagi di saat abang saya, Azhar akan melangsungkan majlis pertunangan Sabtu ini," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Serdang.

Menurut Azlee, jenazah ibu, adik dan abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru.

Saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Zaidi di talian 03-87774260 atau 013-3230811.


http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0820&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_08.htm&arc=hive

No comments: