18 September, 2008

Diabetis DiBulan Puasa


Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),

Prof. Dr. Norazmi Kamarudin


BERPUASA adalah satu amalan yang menuntut kekuatan minda dan fizikal seseorang. Namun, dalam mengerjakan ibadah ini, mereka yang mengalami komplikasi kesihatan atau menghidap penyakit perlu lebih menitikberatkan aspek penjagaan diri.

Salah satu kumpulan pesakit yang harus memberi lebih tumpuan kepada kesihatan mereka sepanjang Ramadan ialah pesakit diabetes. Bagaimanakah pesakit diabetes perlu memantau kesihatan diri pada ketika ini?

"Terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pesakit diabetes. Ini kerana sepanjang mengerjakan ibadah berpuasa, mereka bukan sahaja berpuasa hampir 14 jam malah, keadaan cuaca terik di negara beriklim tropika ini juga memungkinkan badan kehilangan banyak air," kata Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Norazmi Kamarudin.

Tambahnya, mereka yang tidak bersahur pula boleh menyebabkan hipoglisemia. Di samping tanpa penggunaan ubatan atau insulin pada siang hari boleh mengakibatkan peningkatan tahap glukos.

Adakalanya, pesakit diabetes juga dilarang mengerjakan ibadah puasa. "Golongan ini terdiri daripada pesakit yang tidak terkawal diabetesnya, pesakit yang tidak mematuhi penjagaan diabetes, komplikasi penyakit yang serius dan kekerapan mendapat koma," jelas beliau. 

Kata Norazmi, mereka yang mengalami sebarang jangkitan kuman, hamil dan memerlukan insulin juga tidak diwajibkan berpuasa. "Selain itu, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun atau pesakit warga emas yang tinggal bersendirian juga tidak diwajibkan berpuasa," ujar Norazami.

Dalam satu ceramah yang disampaikan di ibu negara baru-baru ini, Norazmi berkata, komplikasi diabetes yang serius termasuklah ketidakstabilan angina, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan kegagalan buah pinggang yang serius.

Untuk memudahkan pesakit diabetes memantau tahap kesihatan mereka sepanjang Ramadan ini, Norazmi menasihati mereka mematuhi peraturan berpuasa seperti yang disarankan.

Pesakit yang tidak mengalami sebarang masalah serius dimestikan bersahur dan makan secukupnya. Namun, amalan melambatkan berbuka tidak dibenarkan. Ketika berbuka, pesakit disarankan makan secara sederhana.

"Kurangkan makanan yang tinggi kandungan gulanya seperti kuih-muih, minuman manis dan pengambilan buah kurma juga dibenarkan setakat mengikut sunnah," katanya.

Bagaimana dengan pengambilan ubat-ubatan dan insulin? Ia masih perlu diteruskan.

"Jika berlaku perubahan dos ubatan sekali pun, pesakit hanya perlu ingat beberapa perkara penting. Ubat yang diambil ketika sarapan pagi boleh dibawa ke waktu berbuka manakala ubat ketika makan malam pula diambil ketika bersahur.

"Bagi mereka yang mengambil ubatan ketika makan tengahh ari pula, ia sama ada boleh dihentikan atau dibawa ke berbuka jika dosnya tinggi," jelasnya.

Ketika berpuasa, amalan memeriksa kandungan gula dalam darah juga amat penting. Ujian tahap glukos harus dilakukan sama ada sebelum berbuka puasa, petang, tengah hari atau sebelum bersahur.

"Semasa berpuasa dan kurang insulin, hati tetap mengeluarkan gula. Itu sebabnya walaupun seminggu tidak makan gula, selepas menjalani ujian glukos masih menunjukkan kehadiran gula dalam darah," jelasnya.

Selain itu, Norazmi menambah, pesakit juga boleh melakukan pemeriksaan glukos dua jam selepas berbuka atau bersahur atau sebelum tidur.

"Pesakit boleh cuba berpuasa dengan menguji tahap glukos dalam tubuh sebelum Ramadan ," katanya.

Walaupun kajian menunjukkan pengawasan yang baik sepanjang bulan Ramadan adalah selamat untuk kebanyakan pesakit diabetes, pesakit perlu mengenali tanda-tanda hipoglisemia dan hiperglisemia.

Hipoglisemia adalah satu keadaan apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah manakala hiperglisemia merujuk kepada ketinggian gula dalam darah dan masalah dehidrasi.

Antara tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, menggeletar dan nadi yang laju serta mungkin berakhir dengan koma. Jika terdapat tanda-tanda tersebut, pesakit digesa segera berbuka.

Seandainya pesakit berhasrat melakukan aktiviti fizikal, ia digalakkan asalkan ringan, bersederhana dan perubahan terhadap pemakanan serta ubatan dilakukan pada waktu sahur bagi mengelakkan hipoglisemia.

"Yang penting adalah penjagaan diet ketika berbuka, kemestian bersahur, perubahan kepada insulin dan ubat-ubatan serta kepekaan terhadap tanda-tanda hipoglisemia," nasihat beliau

*artikel dari KOSMO

No comments: